Mengidam Emas Ketika Hamil Anak Ketiga, Uyaina Arshad Sanggup Ke Kuala Pilah

Mengidam Emas Ketika Hamil Anak Ketiga, Uyaina Arshad Sanggup Ke Kuala Pilah

Pengacara dan pelakon Uyaina Arshad, 32, sanggup memandu jauh ke Kuala Pilah, Negeri Sembilan semata-mata untuk memuaskan nafsu ‘mengidam’ emas ketika hamil anak ketiga.

Uyaina mengakui tindakan itu dibuat selepas dia terdorong dengan perkongsian pengguna media sosial yang mendakwa daerah berkenaan terkenal dengan harga emas lebih murah dan berbaloi.

“Saya mulanya saja-saja tanya di Threads. Ramai kata emas Kuala Pilah murah, jadi saya pun pergi tengok sendiri. Memang tak menyesal.

“Saya masuk satu per satu kedai, banding harga, upah dan rekaan. Ada lapan kedai semuanya sebelum saya buat keputusan,” katanya dalam sebuah hantaran.

Menurut isteri kepada pelakon Raja Syahiran itu, pengalaman memburu emas tersebut membuatkan dia lebih berhati-hati dan teliti sebelum membeli, selain menganggapnya sebagai hadiah untuk diri sendiri.

Dalam nada berseloroh, Uyaina berkata dia mungkin akan ‘kembali menyerang’ Kuala Pilah pada masa akan datang sekiranya keinginan terhadap barang kemas itu datang lagi.

Menjawab soalan mengenai jantina bayi yang dikandung, Uyaina memaklumkan perkara itu masih menjadi rahsia meskipun kandungannya kini sudah memasuki bulan ketujuh.

“Kalau anak perempuan, mungkin sebab itu saya tiba-tiba suka tengok emas. Tapi kalau lelaki pun tak mengapa, mungkin dia bakal jadi tauke emas satu hari nanti,” ujarnya berseloroh.

Untuk rekod, Uyaina dan Raja Syahiran sebelum ini dikurniakan dua cahaya mata lelaki iaitu Raja Urhan, 3, dan Raja Urayyan yang kini berusia setahun.

Related post

Leave a Reply