
Pelajar-pelajar yang menghadiri sebuah seminar di sebuah universiti swasta di Kuala Lumpur berdepan detik mengejutkan baru-baru ini apabila seorang individu yang turut berada dalam dewan didakwa melakukan perbuatan tidak senonoh.
Tidak lama selepas perbuatannya disedari, pihak polis telah campur tangan dan menahan lelaki berkenaan.
Menerusi sebuah klip video yang kini tular di media sosial, lelaki tersebut kelihatan berdiri perlahan-lahan sebelum membetulkan pakaiannya ketika para pelajar menyaksikan kejadian itu dalam keadaan terkejut dan kaku.
Selepas itu, lelaki berkenaan diiring keluar dari dewan kuliah oleh seorang guru yang memerhatikannya sehingga memastikan dia keluar sepenuhnya dari dewan tersebut.
Menurut seorang netizen, lelaki itu dipercayai memasuki auditorium bersama para pelajar untuk menghadiri seminar yang melibatkan dua buah sekolah menengah.
Kira-kira 40 minit selepas seminar bermula, lelaki tersebut didakwa mula melakukan perbuatan tidak senonoh iaitu onani, menyebabkan seorang pelajar perempuan yang duduk bersebelahan dengannya mengalami trauma sehingga menangis.
Kejadian itu akhirnya berakhir apabila seorang guru mengarahkan lelaki berkenaan keluar dari dewan.
Ketua Pegawai Operasi universiti tersebut kemudiannya memaklumkan kepada Free Malaysia Today (FMT) yang pihak polis telah dihubungi sejurus selepas insiden berlaku, yang membawa kepada penahanan lelaki berkenaan.
Siasatan polis mendapati lelaki tersebut mengalami masalah kesihatan mental dan tidak mempunyai sebarang kaitan dengan universiti berkenaan.
Dia turut menjelaskan bahawa seminar itu bukan dianjurkan oleh universiti, sebaliknya oleh beberapa buah sekolah yang menyewa dewan universiti tersebut.
Siasatan dalaman kini sedang dijalankan bagi mengenal pasti bagaimana individu berkenaan boleh memasuki dewan tanpa dikesan.



