Konsert XPDC Metalkestra Bukti Otai Masih Berbisa

Menyusuri perjalanan lebih empat dekad dalam belantika muzik tempatan dan mencetak sejarah, kumpulan XPDC selayaknya sudah kembali dengan konsert berskala besar, seperti yang diidamkan sebahagian besar peminat mereka.

Pastinya peminat setia kugiran rock heavy metal menarik nafas lega tatkala konsert XPDC Metalkestra bakal diadakan di Zepp Kuala Lumpur pada 8 November hadapan.

Konsert anjuran Republic Mokhmah Records bakal disertai Izo, Eddie, Arif, Lola dan Mamu bakal menjadi penanda aras baharu, mengikut jejak siri konsert terdahulu termasuklah Konsert Raksasa XPDC Brutal di Stadium Negara dan Shah Alam tahun 1998.

Menyifatkan tema Metalkestra yang menggabungkan genre metal dengan permainan orkestra sebagai pilihan tepat, mereka mahu mempersembahkan sesuatu yang segar namun masih dalam balutan kental XPDC.

“Peminat bukan hanya akan menikmati heavy metal yang cukup sinonim dengan XPDC tetapi gabungan orkestra akan menambah kemewahan lagu-lagu yang akan dibawakan secara langsung kepada peminat.

“XPDC Metalketsra juga adalah sebuah apresiasi kami buat semangat peminat yang tidak pernah hilang dan menyokong kami dalam banyak fasa jatuh-bangun selama empat dekad ini.

“Konsert ini juga menjadi tanda aras XPDC tidak akan berhenti di hentian ini,” ujar Izo mewakili anggota XPDC yang lain.

Sepanjang berkarya, mereka memiliki repertoire lagu yang cukup popular dengan kebanyakannya menerima sentuhan ajaib daripada pengasas XPDC sendiri iaitu Allahyarham J S Kevin.

Lagu-lagu seperti Apa Nak Di Kata, Nafisa, Kita Peng Yu, Hidup Bersama, Hijau Bumi Tuhan dan CT Cinta Kenangan Silam pastinya bakal berkumandang dan menjadi satu kerugian sekiranya tidak nikmati oleh mereka yang mengikut rapat band ini.

XPDC bakal beraksi di Zepp Kuala Lumpur pada 8 November ini.

Selaku penganjur, Musa yang mewakili Republic Mokhmah Records menegaskan, ada sesuatu yang istimewa akan dipersembahkan kepada peminat.

“Seperti mana peminat teruja, kami selaku penganjur juga mempunyai keghairahan yang sama untuk melihat XPDC beraksi di atas pentas bersama karya-karya hebat yang telah dilahirkan sejak album pertama sehingga terkini.

“Apa yang lebih mengujakan apabila kami dan XPDC mencapai kata sepakat mengangkat tema Metalkestra dalam penganjuran julung kali ini.

“Dengan lambakan kumpulan atau muzik rock yang ada, harus diakui karya-karya XPDC tidak pernah mati dan kekal relevan.

“Kami juga berharap bukan hanya samurai senior yang hadir tetapi konsert ini mampu menarik peminat generasi baharu yang mengenal XPDC melalui pelbagai platform dan medium media sosial,” kata Musa lagi.

Bagi mereka yang ingin turut serta, tiket menyaksikan konsert XPDC Metalkesta dijual dengan harga RM138, RM168, RM198, RM338, RM5,008 (Royal box – 10 orang).

Dua pembeli tiket yang hadir dengan pakaian beragam samurai terbaik pula akan menangi hadiah istimewa akan menerima gitar Jackson Izo Signature.

Related post

Leave a Reply