BeritaViral

Komplot Dengan Kawan Serah Baki Berlebihan, Tukang Masak Dari Malaysia Dipenjara 18 Hari Sebab Curi Wang Majikan Di Singapura

Seorang lelaki warga Malaysia yang bekerja di sebuah gerai nasi campur di Singapura dijatuhi hukuman penjara selama 18 hari selepas disabitkan dengan dua pertuduhan melibatkan kecurian dan bersubahat.

Lim Jun Yap, 29, mengaku bersalah atas satu pertuduhan, manakala satu lagi pertuduhan diambil kira dalam menjatuhkan hukuman, lapor Shin Min Daily News.

Menurut dokumen mahkamah, Lim bekerja sebagai tukang masak dan juruwang di gerai tersebut yang terletak di sebuah kedai kopi di Blok 155 Bukit Batok Street 11 dari Ogos 2023 hingga Februari 2025.

Pada Januari 2025, Lim bersama seorang lagi warga Malaysia, Chia Yow Hwa, merancang satu helah untuk mendapatkan wang tambahan melalui perbuatan mencuri.

Antara 1 Januari hingga 21 Februari, Chia mengunjungi gerai nasi campur itu sebanyak lapan kali.

Setiap kali ke sana, Chia akan membayar menggunakan wang kertas SGD50 (RM158). Selepas menerima wang kertas SGD50 itu, Lim akan memasukkannya ke dalam mesin daftar tunai, kemudian mengeluarkan lima keping wang kertas SGD10 dan satu keping wang kertas SGD50 sebagai baki, menjadikan jumlah keseluruhan SGD100 (RM317).

Bagi mengelakkan perbuatannya disedari, Lim akan meletakkan wang kertas SGD50 di bawah wang kertas SGD10.

Perbuatan ini dilakukan sebanyak lapan kali, membolehkan Lim mencuri sejumlah SGD400 (RM1,200). Wang lebihan itu kemudiannya dibahagikan bersama Chia.

Penipuan Lim akhirnya terbongkar pada 22 Februari apabila pemilik gerai menyedari perkara tersebut dan membuat laporan polis. Lim ditahan pada hari yang sama sebelum dibebaskan dengan jaminan polis keesokan harinya.

Dia kemudiannya memulangkan semula keseluruhan wang yang dicuri dan dijatuhi hukuman penjara selama 18 hari.

Sementara itu, Chia turut didakwa di mahkamah dan didapati bersalah atas penglibatannya dalam kes tersebut.

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button