
Seorang pesakit lelaki mengalami kecederaan selepas seorang doktor Perubatan Tradisional Cina (TCM) di Singapura terlupa mengeluarkan jarum akupunktur dari punggungnya.
Susulan insiden itu, Lembaga Pengamal Perubatan Tradisional Cina (TCMPB) mengarahkan doktor berkenaan membayar denda sebanyak SGD5,000 (RM15,800) serta digantung tugas selama tiga bulan selepas prosiding siasatan selesai.
Menurut aduan yang diterbitkan pada 19 Januari 2025, pesakit tersebut mengunjungi klinik Dr Zhao Ying pada 24 April 2021 bagi mendapatkan rawatan akupunktur untuk sakit belakang, bahu dan leher.
Aduan itu mendapati Zhao gagal menjalankan penilaian yang mencukupi terhadap keadaan kesihatan dan sejarah perubatan pesakit.
Selain itu, Zhao juga tidak mendapatkan persetujuan pesakit sebelum rawatan dijalankan serta tidak meluangkan masa untuk menerangkan manfaat, risiko dan komplikasi yang mungkin berlaku, walaupun pesakit telah menandatangani borang persetujuan bertulis.
Pada akhir rawatan, Zhao terlupa mengeluarkan satu jarum akupunktur dari punggung pesakit.
Akibatnya, ketika pesakit duduk di sofa di kawasan pendaftaran, pesakit berasa kesakitan yang tajam dan kebas menusuk hingga ke bahagian paha dalam, paha depan dan kaki.
Setelah diperiksa dengan lebih dekat, lelaki itu mendapati sebatang jarum tertanam di bahagian bawah punggungnya lalu mengeluarkannya sendiri.
Satu perbicaraan telah diadakan pada 25 September 2025 dan TCMPB mendapati Zhao bersalah atas kecuaian.
Lembaga itu menyatakan walaupun Zhao tidak berniat mencederakan pesakit, kecederaan tetap berlaku dan insiden itu telah menjejaskan keyakinan orang ramai terhadap profesion TCM.
Zhao kemudiannya dikenakan denda dan digantung tugas dari 19 Januari 2026 hingga 18 April 2026. Dia juga diarahkan membayar kos serta perbelanjaan berkaitan kecederaan tersebut.



