DramaTrendingViral

“Jangan Mainkan Isu Agama” – Ezzanie Jasny Berang Identiti Disalahguna

Pelakon Ezzanie Jasny meluahkan rasa kesal apabila wujud sebuah akaun palsu di media sosial yang didakwa cuba memainkan isu sensitif berkaitan agama dengan menggunakan identitinya.

Menurut Ezzanie, pada awalnya dia memilih untuk tidak mengambil peduli mengenai kewujudan akaun berkenaan kerana menyangka kandungannya tidak mendapat perhatian ramai.

Namun, keadaan berubah apabila dia dimaklumkan bahawa akaun tersebut mula tular dan meraih jumlah tontonan tinggi selepas memuat naik kandungan yang mendakwa kononnya dia telah bertukar agama.

“Itulah sebabnya apabila isu agama dipermainkan, saya rasa saya perlu bersuara di media sosial. Sebelum ini saya nampak akaun itu, tetapi saya fikir tidak mengapa kerana jumlah tontonan sedikit dan orang pun tidak ambil peduli. Saya malas mahu melayan perkara seperti ini.

“Tetapi apabila saya bangun pagi, mesej peribadi saya dibanjiri dengan individu yang memaklumkan mengenai akaun tersebut. Bila saya lihat sekarang, rasanya hantaran itu sudah hampir mencecah sejuta tontonan. Jadi saya rasa memang perlu bersuara kerana bimbang orang akan salah faham.

“Apabila isu agama ini dipermainkan, ia jadi lain macam. Individu itu sanggup menggunakan gambar saya di hadapan Kaabah dan mendakwa saya bukan Islam. Perkara itu tidak baik. Jangan sampai Mimi Monira mencari awak,” katanya.

Mengulas lanjut, Ezzanie mengakui ini merupakan kali pertama dia berdepan situasi sedemikian dan masih mempertimbangkan langkah seterusnya yang wajar diambil.

Tambahnya, dia juga telah disekat oleh pemilik akaun palsu berkenaan, sekali gus menyukarkan usahanya untuk menghubungi individu tersebut secara langsung.

“Sejujurnya, saya tidak pernah berdepan perkara seperti ini sebelum ini. Jadi saya sendiri tidak pasti apa yang patut dilakukan. Namun apabila bertanya kepada rakan-rakan, mereka menyarankan supaya saya membuat laporan.

“Pemilik akaun itu juga telah menyekat akaun saya, jadi saya tidak boleh menghantar mesej kepadanya. Saya hanya mampu melihat kandungan tersebut melalui akaun orang lain,” jelasnya lagi seperti dilaporkan Gempak.

Bagaimanapun, Ezzanie berkata dia masih memantau perkembangan situasi berkenaan dan tidak menolak kemungkinan untuk membuat laporan polis sekiranya tindakan individu tersebut semakin melampaui batas.

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button