“Jangan Lupa Cerita Barang Hilang” – Ben Ladin Jawab Dakwaan Culas Bayar Gaji

Penyanyi, Ben Ladin tampil memberikan respons terhadap dakwaan seorang individu yang menuduh dirinya culas membayar gaji seperti dijanjikan.
Ben menegaskan dia tidak gentar dengan sebarang tuduhan yang cuba menjatuhkan imejnya, malah mendakwa sudah menjelaskan perkara sebenar kepada individu berkenaan.
“Teruskan dengan tindakan awak, saya dengan tindakan saya. Tidak mengapa sebab saya sudah cakap apa yang patut dan siapa yang patut bayar gaji awak. Jangan lupa cerita sekali barang hilang,” katanya dalam sebuah hantaran.
Dalam masa sama, Ben turut menjelaskan bahawa isu bayaran gaji tersebut bukan sepenuhnya di bawah tanggungjawabnya, sebaliknya telah dimaklumkan kepada pihak yang sepatutnya membuat pembayaran.
“Awak rasa awak mahu selesaikan macam mana? Awak nak duit cara macam ini? Kerja sampai pukul 2, pukul 1 dah tutup, tak ikut masa kerja.
“Bahagian gaji dah jelaskan siapa yang sepatutnya bertanggungjawab,” tegasnya lagi.
Terdahulu, seorang individu mendakwa tidak dapat menyambut Hari Raya Aidilfitri dengan sempurna kerana masih belum menerima bayaran gaji selepas menyelesaikan tugasan bersama penyanyi tersebut.
Individu itu turut berkongsi beberapa tangkap layar perbualan di aplikasi WhatsApp sebagai bukti, selain meluahkan rasa kecewa kerana tuntutan bayaran tidak dilayan sehinggalah isu tersebut tular di media sosial.
“Orang cari duit raya tapi ini balasnya. Saya tak akan turunkan perkongsian ini selagi gaji saya tak dibayar. Saya tak beraya sebab gaji tak dapat lagi.
“Sesiapa yang mahu kerja dengan dia lepas ini tolong hati-hati. Mesej diam saja, bila mahu viralkan baru balas tapi sampai sekarang tak dapat lagi,” dakwanya.



