
Hans Isaac Sambut Baik RUU Pekerja Gig, Bela Penggiat Seni
Pengerusi Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS), Datuk Hans Isaac menyambut baik pelaksanaan Rang Undang-Undang (RUU) Pekerja Gig 2025 yang disifatkan mampu memberi perlindungan sewajarnya kepada penggiat seni tempatan.
Menurut Hans, cadangan tersebut dilihat sebagai jalan penyelesaian kepada isu lama dalam industri, termasuk soal bayaran minimum serta masa bekerja yang adil khususnya melibatkan kru produksi dan pelakon veteran.
“Bagaimanapun, keputusan untuk RUU Pekerja Gig 2025 bagi penggiat seni masih belum muktamad dan kini menunggu kelulusan peringkat tertinggi.
“Persatuan dalam industri juga perlu memainkan peranan dengan mengemukakan maklumat mengenai kadar bayaran serta penarafan pekerja seni,” katanya.
Hans berkata, struktur bayaran dalam industri filem kini terlalu berbeza antara satu sama lain. Ada pengarah yang menuntut sehingga RM1 juta untuk sebuah filem, manakala ada yang hanya menerima RM30,000.
Perbezaan sama turut berlaku pada kos penerbitan yang boleh mencecah RM10 juta atau serendah RM800,000. Katanya, garis panduan jelas amat diperlukan agar tidak berlaku eksploitasi dalam kalangan pekerja seni.

“Isu ini sudah lama diperjuangkan berpuluh tahun tetapi tiada penyelesaian. Malah semasa saya menjadi Pengerusi FINAS pada 2019, saya sendiri pernah mengemukakan kurtas cadangan mengenai perkara ini,” ujarnya seperti dilaporkan Harian Metro
Hans menambah, pekerja seni sebenarnya sudah lama tergolong sebagai pekerja gig seperti pemandu e-hailing, kerana kebanyakan mereka berdepan pendapatan tidak tetap.
Situasi itu menyebabkan mereka sukar membuat pinjaman membeli rumah, kereta dan aset lain.
Antara yang sering berdepan cabaran ialah penyanyi funfair, pelakon pentas, jurusolek serta kru produksi yang bergantung kepada tawaran kerja sementara.
RUU berkenaan juga akan merangkumi perlindungan sosial lebih menyeluruh termasuk dokumentasi kerja, caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan kemudahan sosial lain untuk kebajikan penggiat seni.
“Ramai yang melihat hanya artis popular sahaja mendapat pendapatan lumayan. Hakikatnya, kru di belakang tabir dan pekerja kreatif lain sering terabai. Sebab itu penyelarasan bayaran minimum amat penting,” tegasnya lagi.
Justeru, Hans berharap RUU Pekerja Gig 2025 dapat dibentangkan di Parlimen dalam masa terdekat, sekali gus dimuktamadkan tahun ini demi masa depan lebih terjamin buat seluruh warga seni.