
Pelakon, Que Haidar tidak mampu mengawal mulut netizen yang mengusik dirinya untuk dijodokan dengan aktres Nur Fazura susulan keakraban mereka yang jelas kelihatan sejak kebelakangan ini.
Pemilik nama sebenar Tengku Iskhan Shah Tengku Haidar berkata, dia juga tidak mengambil serius tentang perkara tersebut, namun menyambut baik setiap doa yang dititipkan.
“Benda yang baik-baik kita aminkan. Sebagai manusia, kita memang nak benda yang baik berlaku dalam hidup kita. Semua orang pun rasa macam tu. Jadi, apa yang baik-baik.
“Jodoh kita tak boleh tolak. Jodoh Allah yang atur. Macam mana nak tolak jodoh? Ajal pun kita tak boleh tolak atau lambat-lambatkan.
“Jadi benda tu memang tak boleh kawal. Jodoh, ajal kita, memang tak boleh kawal,” katanya.
Dalam pada itu, Que turut berkongsi pengalaman bertemu semula dengan Fazura selepas sekian lama tidak berjumpa, susulan kerjasama mereka sebagai duta sebuah jenama pakaian.
“Saya dengan Faz, kita dah kenal lama. Tapi dah lama tak jumpa pun. Bila jumpa balik saya malu, itu je yang saya boleh gambarkan,” ujarnya ringkas.
Mengulas lanjut, Que berkata personaliti Fazura kekal sama seperti dahulu meskipun masing-masing sudah melalui pelbagai fasa kehidupan dan kerjaya.
“Sangat friendly. Daripada saya kenal dulu, walaupun dah lama tak jumpa, masih orang yang sama. Tak ada perubahan personalitinya.
“Dia baik. Kalau nak banding pun, dia orang yang sama je. Malah mungkin bertambah matang lagi,” jelasnya lagi.
Terdahulu, gandingan Que dan Fazura sebagai duta serta penghasilan konten untuk jenama pakaian lokal itu mencuri perhatian ramai, malah keserasian mereka turut menerima reaksi positif daripada peminat.



