GlobalViral

Dihenyak Isu Cukai Tertunggak, Cha Eun Woo Akhirnya Bersuara

Pelakon dan penyanyi popular Cha Eun Woo akhirnya tampil bersuara susulan terkait dengan beberapa tuduhan termasuk isu cukai tertunggak sekitar 20 bilion won (RM59 juta), dakwaan
pengiklanan terselindung melibatkan restoran milik keluarganya, serta kemusykilan pendaftaran tenteranya bertujuan untuk mengelak penelitian awam.

Menerusi satu kenyataan yang dimuat naik di media sosial, Eun Woo berkata, pendaftaran tenteranya bukan satu keputusan yang disengajakan untuk melarikan diri daripada isu-isu yang sedang dihadapinya.

Menurut Eun Woo, dia telah pun sampai ke tahap pendaftaran ketenteraannya tidak boleh lagi ditangguhkan, sekali gus menghalangnya daripada menyelesaikan sepenuhnya proses audit cukai yang sedang berjalan.

Walaupun bimbang penjelasan yang panjang akan terus meletihkan orang ramai, Eun Woo berharap kata-katanya dapat menyampaikan walaupun sedikit rasa permohonan maaf kepada mereka yang terkesan akibat dirinya.

Eun Woo berkata, hanya kerana sokongan daripada peminat dia mampu berada di kedudukan hari ini. Dia sekali lagi memohon maaf dan menyatakan bahawa akan bekerjasama dengan ikhlas dalam sebarang siasatan pada masa hadapan.

Dia juga akan menerima dengan rendah hati serta memikul tanggungjawab terhadap sebarang keputusan muktamad yang dibuat oleh pihak berkuasa berkaitan.

Sebelum ini, agensinya Fantagio, yang mengumumkan rancangan untuk memberikan penjelasan kekal membisu. Keputusan Eun Woo untuk mengeluarkan kenyataan ini dilihat sebagai tindak balas terhadap sentimen awam yang semakin merosot dengan pantas.

Dalam laporan berbeza, Eun Woo telah melantik firma guaman utama Shin & Kim, juga dikenali sebagai Sejong, sebagai wakil perundangannya dan sedang membuat persiapan untuk mencabar taksiran cukai oleh Perkhidmatan Cukai Kebangsaan secara besar-besaran.

Firma Sejong dilaporkan telah memperkukuh kepakaran undang-undang cukainya tahun lalu dengan merekrut bekas ketua Pejabat Cukai Wilayah Seoul, sekali gus memberi isyarat bahawa satu pertikaian undang-undang yang serius mungkin akan berlaku.

Sumber: Allkpop

Related Articles

Back to top button