Didi Astillah Selamat Bertunang

Penyanyi, Didi Astillah selamat mengikat tali pertunangan dengan lelaki pilihan hati, Diniey Ng, dalam sebuah majlis tertutup yang berlangsung pada Ahad.
Pada majlis berkenaan, pemilik nama penuh Dayang Nazilah Awang Astillah tampil anggun mengenakan baju kurung rona merah jambu, sepadan dengan busana baju Melayu yang digayakan oleh tunangnya.
Difahamkan, majlis pertunangan itu diadakan secara eksklusif di sebuah hotel mewah di Kuala Lumpur dengan hanya dihadiri ahli keluarga serta rakan terdekat.
Suasana bertambah menyentuh perasaan apabila kakaknya yang juga penyanyi, Bella Astillah, dilihat tidak dapat menahan sebak menyaksikan adiknya melangkah ke fasa baharu dalam kehidupan.
Malah, tular di media sosial sebuah video di TikTok memaparkan Bella mengesat air mata secara diam-diam sehingga mencuri perhatian ramai.
Majlis tersebut turut dimeriahkan dengan kehadiran keluarga Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, yang dilihat menggayakan busana berwarna biru lembut, senada dengan pakaian keluarga Bella.
Sebelum ini, Didi menerima kejutan lamaran daripada Diniey bersempena sambutan Tahun Baharu 2026, yang disifatkannya sebagai permulaan tahun paling manis.
Menerusi video yang dikongsikan, Diniey dilihat melutut sambil menyarungkan sebentuk cincin kepada Didi ketika sebuah konsert ambang tahun baharu di Sunway City Iskandar Puteri, Johor Bahru.
Lelaki berbangsa Tionghua itu kemudiannya bersalaman dengan ibu Didi, Siti Zarina Roslan, yang turut berada di sisi pasangan tersebut.



