
Seorang pempengaruh media sosial dari China didakwa telah diperdaya ke Kemboja dengan tawaran pekerjaan bergaji tinggi, namun akhirnya menjadi gelandangan dan ditemui merayau-rayau di jalanan.
Memetik laporan media China, Cover News, portal 8world melaporkan gambar-gambar pempengaruh tersebut, yang dikenali di media sosial sebagai Umi, telah tersebar luas di internet.
Menerusi gambar tersebut, Umi kelihatan cengkung dan memegang sekeping filem X-ray. Kakinya juga dilaporkan mengalami kecederaan.
Sekeping gambar pasportnya turut dikongsi, menunjukkan wanita tersebut bernama Wu Mouzhen dan berasal dari wilayah Fujian, China.
Semakan ke atas akaun video pendek Mouzhen pula mendapati yang akaun tersebut didaftarkan di Kemboja. Akaun itu dilaporkan mempunyai sekitar 26,000 pengikut dan memuat naik 12 video, dengan 11 daripadanya dirakam di Kemboja.
Ibu bapa Mouzhen kemudian mengesahkan dalam satu temu bual dengan Cover News yang wanita dalam gambar tular tersebut ialah anak mereka.
Ibunya berkata, Mouzhen yang baru berusia 20 tahun, tidak menyambung pembelajarannya selepas tamat sekolah menengah kerana mahu terus bekerja.
Menurut bapanya pula, keluarga telah terputus hubungan dengan Mouzhen sejak 26 Disember 2025 dan laporan polis telah dibuat. Sepanjang tempoh setahun berada jauh dari rumah, Mouzhen hanya berhubung dengan keluarganya melalui aplikasi pesanan dan jarang berkongsi maklumat tentang pekerjaan atau lokasi keberadaannya.
Ibu Mouzhen berkata, mereka mula mengetahui tentang gambar-gambar tular anak mereka melalui saudara-mara sebelum membuat laporan polis.
Namun, memandangkan kejadian berlaku di luar negara, pihak polis tempatan menasihatkan keluarga tersebut supaya mendapatkan bantuan daripada pihak imigresen dan Kedutaan China di Kemboja memandangkan kes tersebut berada di luar bidang kuasa mereka.
Menurut 8world, pegawai kedutaan China di Sihanoukville, Kemboja, akhirnya menemui Mouzhen di sebuah hospital tempatan pada 3 Januari lalu. Dia dilaporkan berada dalam keadaan kesihatan yang sangat lemah. Mouzhen kemudiannya dipindahkan ke sebuah fasiliti perubatan yang lebih lengkap.
Mouzhen dilaporkan memberitahu pegawai yang dia telah diperdaya ke Kemboja dengan janji gaji lumayan. Namun janji tinggal janji apabila dia kemudian ditinggalkan dan terpaksa hidup di jalanan.
Keadaan Mouzhen kini dilaporkan semakin pulih dan pihak kedutaan telah menghubungi keluarganya untuk mengatur kepulangannya ke China.
Kedutaan China turut mengingatkan semua warganegara China mengenai banyak tawaran pekerjaan luar negara yang kononnya bergaji tinggi sering dikaitkan dengan industri hitam dan kelabu, termasuk perjudian dalam talian, penipuan telekomunikasi, pornografi dan dadah.



