
Penyanyi, Zaki Yamani, 19, mendedahkan dirinya hampir menjadi mangsa gangguan seksual beberapa tahun lalu, ketika masih bergelar pelajar sekolah.
Pemilik nama penuh Ahmad Zaki Yamani Jamal Ubaidillah, berkata kejadian itu melibatkan seorang individu yang bekerja dalam bidang produksi yang bertindak melampaui batas ketika mereka berada berdua-duaan di dalam sebuah bilik.
“Saya pernah melalui perkara itu. Waktu kejadian, saya sedang bekerja dan dia panggil masuk ke bilik. Pada mulanya saya tak syak apa-apa, tapi sikapnya mula berubah.
“Dia menyentuh saya dengan meletakkan tangan di atas riba sambil memuji rupa paras saya. Perkara itu buatkan saya rasa sangat tidak selesa,” katanya.
Menurut Zaki, dia segera menyedari niat sebenar individu berkenaan dan bertindak keluar dari bilik tersebut tanpa berlengah.
“Dari situ saya tahu orang ini bukan nak beri peluang kerja, sebaliknya ada niat lain. Saya terus bangun dan keluar. Kebetulan ibu saya ada di kawasan itu, jadi saya terus beritahu dia,” katanya lagi.
Sejak kejadian itu, anak kepada penyanyi terkenal Datuk Jamal Abdillah mengakui lebih selesa ditemani ibunya, Fatimatuzahra Samat setiap kali bertemu individu baharu atas urusan kerja meskipun kini sudah meningkat dewasa.
“Sekarang ini kalau ada urusan kerja yang minta jumpa secara tertutup, saya akan bawa ibu saya. Saya lebih rasa selamat bila dia ada,” jelasnya.
Dalam pada itu, Zaki turut mendedahkan pernah menerima gangguan menerusi media sosial apabila seorang wanita menawarkan bayaran puluhan ribu ringgit hanya untuk melakukan panggilan video dengannya.
“Saya terima DM di TikTok daripada seorang wanita yang tawarkan bayaran besar. Saya ingatkan berkaitan kerja, jadi saya balas. Tapi bila dia minta video call, saya terus sekat. Saya tahu itu bukan perkara betul,” katanya.
Bagaimanapun, Zaki memilih untuk tidak memaklumkan perkara tersebut kepada ibunya kerana merasakan dirinya sudah cukup matang untuk menilai dan mengelak situasi berbahaya.
Zaki juga mengakui tidak pernah berkongsi pengalaman berkenaan dengan bapanya yang juga penyanyi terkenal, Jamal Abdillah.
“Saya memang tak pernah cerita apa-apa pada ayah. Dari awal menyanyi, habis SPM, sehinggalah mula berlakon, saya tak maklumkan. Kalau dia tanya barulah saya cerita,” ujarnya lagi.
Terdahulu, industri hiburan tempatan dikejutkan dengan pendedahan pelakon Alqal Sahar yang mendakwa pernah menjadi mangsa gangguan seksual ketika masih kanak-kanak, sekali gus mendorong beberapa pelakon lain termasuk Firdaus Ghufran tampil berkongsi pengalaman hampir sama yang pernah dilalui mereka.



