Berita

Cinta Lewat Usia, Penghuni Rumah Jagaan Kahwin Lepas 3 Bulan Berkenalan

Sebuah rumah jagaan warga emas di Pulau Pinang menjadi saksi penyatuan penuh bermakna apabila seorang lelaki berusia 67 tahun, Wu Caixing dan wanita berusia 91 tahun, Hu Ruirong, melangsungkan perkahwinan dalam satu majlis sederhana pada 17 Mac lalu.

Majlis tersebut berlangsung dalam suasana tenang dan dihadiri ahli keluarga, rakan serta penghuni rumah jagaan berkenaan. Pasangan itu dilaporkan hanya mengenali antara satu sama lain selama tiga bulan sebelum mengambil keputusan untuk berkahwin.

Dalam temu bual bersama China Press, Hu memaklumkan yang Wu tidak pernah melamarnya, sebaliknya keputusan untuk berkahwin dibuat atas keinginannya sendiri untuk hidup bersama lelaki tersebut.

Hu turut memberitahu, dia tidak berasa gementar, malah berasa gembira dengan keputusan tersebut walaupun usianya telah lanjut. Difahamkan, ini merupakan perkahwinan pertama buatnya selepas menghabiskan sebahagian besar hidup menjaga ibu bapanya yang uzur.

Untuk rekod, Hu mula menetap di Silver Jubilee Home For The Aged kira-kira enam hingga tujuh tahun lalu susulan keadaan kesihatannya yang semakin merosot. Sepanjang tempoh tersebut, dia menjalani rutin harian bersama penghuni lain tanpa menemui pasangan yang sesuai.

Perubahan berlaku pada Disember 2025 apabila Wu berpindah ke rumah jagaan yang sama. Menurut pihak pengurusan, kedua-duanya mula berkenalan selepas duduk bersebelahan di dewan makan sebelum hubungan mereka semakin rapat, termasuk meluangkan masa berjalan bersama pada waktu petang.

Pihak pengurusan rumah jagaan turut menjalankan sesi temu bual berasingan dengan kedua-dua individu sebelum membenarkan perkahwinan tersebut. Wu yang mempunyai pergerakan terhad memaklumkan hasratnya untuk bersama Hu secara kekal.

Majlis perkahwinan itu dianjurkan sepenuhnya oleh pihak rumah jagaan dengan sokongan penaja daripada perniagaan tempatan, organisasi komuniti serta penderma individu, selain bantuan sukarelawan.

Menariknya, pasangan pengapit lelaki dan perempuan dalam majlis itu, masing-masing berusia dalam lingkungan 70-an, juga merupakan pasangan yang bertemu di rumah jagaan sama dan telah bersama lebih dua tahun.

Kini, Wu dan Hu menetap bersama di bilik berkongsi di rumah jagaan tersebut, sama seperti pasangan berkenaan.

Related Articles

Back to top button