DramaViral

“Apa Jua Industri Akan Ada Manusia Jahat & Baik”

Pelakon, Mimi Lana, 31, meluahkan rasa terkejut selepas mendengar pendedahan yang dibuat oleh ibu kepada aktres Puteri Balqis mengenai pengalaman perit yang pernah dilalui anaknya suatu ketika dahulu.

Menurut Mimi, apa yang dikongsikan bukan lagi boleh dianggap sebagai salah faham, sebaliknya satu perbuatan jenayah yang perlu diberi perhatian serius.

“Ia adalah jenayah dan sangat mengejutkan. Saya tidak boleh membayangkan perkara ini terjadi kepada ibu saya. Memikirkannya pun membuatkan saya sedih,” katanya dalam sebuah hantaran.

Jelas Mimi, pada awalnya dia memilih untuk tidak mencampuri isu membabitkan Puteri Balqis dengan individu dalam industri seni, namun pendiriannya berubah selepas menonton kandungan podcast yang menampilkan penjelasan daripada ibu aktres berkenaan.

“Saya cuba untuk tidak campur tangan dalam kes Puteri Balqis dengan orang dalam industri, tetapi memilih untuk bercakap selepas menonton podcast itu kerana kenyataan daripada ibunya bukan lagi salah faham,” ujarnya lagi.

Dalam perkongsian sama, Mimi turut membuka cerita mengenai realiti dunia hiburan berdasarkan pengalaman peribadinya sepanjang bergelar pelakon, selain mendengar pelbagai kisah daripada rakan-rakan industri.

“Mungkin saya masih baharu, tetapi apa yang boleh dikatakan, industri ini tidak bersih, namun tidak juga kotor seperti yang digambarkan.

“Jangan kerana nilai setitik, rosak susu sebelanga. Saya percaya dalam apa jua industri akan ada manusia yang jahat dan baik,” kongsinya.

Mengimbas kembali detik awal penglibatannya dalam bidang lakonan, Mimi turut berkongsi pengalaman menerima bantuan daripada aktres Nabila Huda ketika dirinya masih mentah dalam industri.

“Saya masih ingat 10 tahun lalu ketika mula masuk industri, Nabila Huda pernah meminjamkan saya sebuah bagasi besar penuh dengan pakaian musim sejuk kerana ada kerja di luar negara.

“Zaman itu memang tiada duit, kereta pun belum ada. Dia sudi membantu seorang budak jalanan yang baru hendak mengenali industri ini,” katanya.

Di akhir perkongsian, Mimi turut menitipkan peringatan kepada bakat muda yang ingin menceburi dunia lakonan agar sentiasa berwaspada dan menjaga diri ketika berada dalam industri hiburan.

Related Articles

Back to top button