
Anggun Berbusana Pengantin, Hari Bahagia Amira Othman Semakin Hampir?
Kemunculan penyanyi, Amira Othman dalam persalinan serba putih lengkap dengan sejambak bunga tangan mencetuskan pelbagai andaian dalam kalangan peminat di media sosial.
Menerusi klip video berdurasi 50 saat yang dikongsi di Instagram, penampilan anggun Amira yang tersenyum manis mencuri perhatian ramai dan seolah-olah memberi bayangan detik istimewa sedang menghampiri.
Spekulasi bertambah rancak apabila video tersebut tular di beberapa platform sejak semalam, menguatkan lagi gosip yang mengaitkan Amira dengan pelakon, Fattah Amin.
Lebih menarik perhatian, rakaman berkenaan turut memaparkan beberapa elemen simbolik seperti sebentuk cincin, dulang hantaran dan kad undangan yang memaparkan tarikh 26 Ogos bersama inisial huruf A dan F.
Perkara itu sekali gus mengundang pelbagai spekulasi mengenai makna di sebaliknya.
Dalam masa sama, Amira juga memuat naik satu hantaran bermakna di TikTok, dipercayai menggambarkan peralihan fasa baharu dalam kehidupannya.
“Hidup kita semua punya takdir yang berbeza-beza. Cepat atau lambat tiada siapa yang tahu urusan Dia. Jangan khuatir tentang perjalanan kita kerana kita ada Dia,” tulisnya.
Setakat ini, Amira masih belum memberikan sebarang kenyataan rasmi, namun para peminat tetap tidak henti-henti mengucapkan tahniah dan mendoakan yang terbaik buatnya.