Anggota Polis Maut Dihanyut Banjir, Beberapa Jam Lepas Beli Cincin Pertunangan
Seorang konstabel polis muda di Sepang maut selepas dihanyutkan arus deras banjir pada malam Jumaat, hanya beberapa jam selepas membeli cincin pertunangan untuk pasangannya.
Konstabel Muhammad Rahimi Amirudin, 23, yang bertugas di Ibu Pejabat Polis Daerah Nilai, Negeri Sembilan sedang membuat persiapan majlis merisik dan pertunangannya yang dirancang pada tahun hadapan.
Menurut keluarganya, cincin yang dibelinya pada petang itu merupakan barang terakhir yang diperlukan untuk persiapan tersebut.
Memetik mStar, bapanya, Amirudin Mohd Hanifah berkata, Rahimi sempat makan malam bersama bakal tunangnya dan keluarga wanita itu sebelum berangkat untuk syif malam pada jam 11 malam.
Namun, perjalanan Rahimi ke tempat kerja terganggu apabila dia melalui kawasan jalan yang dilanda banjir.
Sebelum memasuki kawasan tersebut, Rahimi bertanya kepada penduduk sekitar sama ada jalan itu boleh dilalui. Walaupun mereka menasihatinya supaya tidak meneruskan perjalanan, dia tetap cuba memandu melalui kawasan berkenaan.
Namun, arus air yang semakin kuat menolak keretanya ke dalam parit, menyebabkan dia terpaksa keluar dan berenang. Tidak lama kemudian, dia dihanyutkan arus deras.
Penduduk kemudian terlihat dia berpaut pada tiang papan tanda jalan dalam keadaan masih lengkap beruniform. Arus deras akhirnya menariknya hanyut sekitar pukul 10.30 malam.
Mayatnya ditemui pada keesokan pagi, kira-kira 50 meter dari lokasi dia dilaporkan hilang.
Bapa Rahimi ditemui media selepas pengebumian arwah di Tanah Perkuburan Islam Taman Purnama, Simpang Renggam, pada Ahad.
Bapanya berkata, keluarga amat sedih kerana Rahimi tidak sempat merealisasikan hasratnya untuk bertunang selepas Aidilfitri tahun hadapan.
