Berita

“Air Mata Jadi Saksi Besarnya Cinta & Kasih Sayang Ini Pada Kamu Semua”

Pelakon, Abby Abadi berkongsi pesanan penuh makna buat enam orang anaknya, bersempena sambutan Aidilfitri pada tahun ini.

Abby menitipkan kata-kata penuh emosi sebagai tanda kasih seorang ibu yang sentiasa menjadi tempat pulang buat anak-anaknya, tidak kira apa jua keadaan.

“Kalau satu hari nanti kamu rasa dunia ini berat, pulanglah. Kami mungkin tak mampu menyelesaikan segalanya, tapi cukup untuk buat kamu rasa rumah dan tempat untuk berlindung masih ada,” tulisnya dalam sebuah hantaran.

Perkongsian tersebut turut disertakan dengan video memaparkan momen kebersamaan keluarga besar mereka sempena Aidilfitri, termasuk kehadiran bekas suaminya, Norman Hakim bersama isteri, Memey Suhaiza.

Dalam pada itu, Abby turut menzahirkan harapan agar anak-anaknya membesar menjadi insan yang kuat, berprinsip dan sentiasa menghargai nilai kehidupan.

“Jangan takut untuk menjadi diri sendiri. Jangan lelah untuk jadi lebih baik dari hari ini dan jangan pernah lupa kamu adalah sebab kami kuat hingga hari ini.

“Kami tak minta kamu jadi sempurna, cukuplah kamu jadi anak yang mengenang budi, tahu nilai kasih sayang, tahu bezakan baik dan buruk dan tak lupa siapa dirimu walau di mana kamu berada.

“Ya anakku. Selagi kami masih bernafas, kamu tetap doa terindah dalam hidup kami. Fi hifzillah. Sayang sampai syurga,” ujarnya lagi.

Tambah Abby, sebagai ibu, doa buat anak-anak tidak pernah terhenti walau sesaat, malah setiap perjalanan hidup mereka sentiasa diiringi dengan harapan dan kasih sayang yang tidak berbelah bahagi.

“Anak-anak, kalau satu hari nanti Mama, Abah, Papa, Mummy tak lagi mampu pegang tangan-tanganmu sekuat hari ini, ingatlah setiap langkahmu pernah kami doakan tanpa henti.

“Sejak pertama kali mendengar tangisanmu, dunia kami berubah. Penat hilang, lelah jadi manis, air mata jadi saksi betapa besarnya cinta dan kasih sayang ini pada kamu semua,” katanya.

Untuk rekod, Abby pernah mendirikan rumah tangga dengan Norman Hakim pada tahun 2002 sebelum berpisah pada 2008 dan hasil perkahwinan itu, mereka dikurniakan tiga cahaya mata.

Abby kemudiannya berkahwin dengan Muhammad Faizal Zakaria pada 2015, selain turut membesarkan tiga orang anak angkat bersama.

Related Articles

Back to top button