
Mahkamah Rendah Syariah Daerah Gombak Barat menangguhkan prosiding pengesahan lafaz rujuk melibatkan penyanyi Adira Suhaimi dan bekas suaminya, usahawan Datuk Seri Adnan Abu Bakar, ke 16 Februari depan.
Penangguhan dibuat selepas Adira, atau nama sebenarnya Siti Adira Suhaimi, 38, tidak hadir pada sebutan pertama kes yang dijadualkan berlangsung hari ini.
Peguam yang mewakili Adnan, Nor Haiza Marina Mat Ramli, memaklumkan prosiding tersebut sepatutnya melibatkan pembelaan pihak defendan, namun pihak mahkamah dimaklumkan Adira tidak dapat menghadirkan diri.
“Hari ini adalah sebutan pertama bagi permohonan pengesahan lafaz rujuk yang difailkan Datuk Red ketika tempoh idah selepas perceraian dengan Adira.
“Bagaimanapun, peguam syarie defendan memaklumkan anak guamnya tidak dapat hadir, justeru mahkamah menetapkan perbicaraan secara tertutup pada 16 Februari,” katanya.
Menurut Haiza, prosiding akan datang hanya akan melibatkan kehadiran plaintif dan defendan tanpa penglibatan pihak luar.
Dalam perkembangan sama, Haiza turut memaklumkan pihaknya telah menyerahkan surat peringatan kepada Adira serta ahli keluarganya berkaitan hantaran mengenai kes tersebut di media sosial.
Katanya, pihak plaintif juga mengemukakan surat peringatan berhubung dakwaan halangan komunikasi antara Datuk Red dengan anak-anak serta Adira.
“Buat masa ini, Datuk Red hanya dibenarkan berhubung dengan anak-anak melalui orang tengah dan bukan secara langsung dengan Adira,” jelasnya.
Sementara itu, seorang lagi peguam syarie yang mewakili Adnan, Muhammad Akmal Amzan, enggan mengulas lanjut mengenai kes berkenaan bagi mengelakkan sebarang gangguan terhadap proses perbicaraan.
“Kami tidak boleh mengulas kerana kes masih dalam prosiding dan akan didengar secara tertutup. Kami tidak mahu sebarang sentimen luar menjejaskan perjalanan kes,” katanya.
Sebelum ini, Adnan menerusi peguamnya mendedahkan telah memfailkan permohonan pengesahan lafaz rujuk terhadap Adira pada Disember lalu, yang mengejutkan penyanyi itu apabila mendakwa tidak dimaklumkan mengenai tindakan tersebut.
Untuk rekod, Adira dan Datuk Red mendirikan rumah tangga pada 3 Disember 2015 sebagai isteri kedua sebelum bercerai pada 24 April 2024.
Hasil perkahwinan itu, mereka dikurniakan empat cahaya mata iaitu Anggrek, 7; Asan, 6; Anggun, 5; dan Ayob, 3.



