Adira Dah Jumpa Jodoh Lebaran? Kongsi Foto Lelaki Misteri Di IG

Perkongsian terbaharu penyanyi Adira Suhaimi di Instagran mencetuskan tanda tanya apabila dia memuat naik foto seorang lelaki berbaju Melayu berona kuning sekali gus mencuri perhatian ramai.
Menerusi hantaran itu, Adira dilihat berkongsi gambar lelaki berkenaan yang tampil segak dalam busana tradisional, namun identitinya tidak didedahkan sepenuhnya.
Situasi itu sekali gus mengundang pelbagai spekulasi dalam kalangan peminat yang mula membuat andaian tentang status hati penyanyi tersebut.
Lebih menguatkan teka-teki, beberapa hari sebelum menjelang Syawal, Adira turut berkongsi satu lagi momen memperlihatkan dirinya bersama lelaki sama dan anak-anaknya dari sudut belakang ketika menikmati pertunjukan bunga api.
Perkongsian itu membuatkan ramai pengikut teruja selain tertanya-tanya siapakah gerangan lelaki misteri yang kini dilihat semakin dekat dengan penyanyi berkenaan. Ada yang mendakwa, Adira sudah menemui teman hidup baharu.
Untuk rekod, Adira pernah mendirikan rumah tangga dengan Adnan Abu di Songkhla, Thailand pada 3 Disember 2015 sebagai isteri kedua.
Namun, selepas sembilan tahun bersama, penyanyi itu memfailkan perceraian pada Oktober 2023 sebelum disahkan berpisah pada April 2024.
Hasil perkahwinan tersebut, mereka dikurniakan empat cahaya mata iaitu Anggrek, Asan, Anggun dan Ayob.



