“Ada Pihak Menghasut” – Nourul Sedih Hubungan Dengan Anak Masih Dingin

Penyanyi, Nourul Depp, 49, mengakui hubungannya dengan anak sulungnya, Ayu Nazirah masih belum menemui titik perdamaian meskipun pelbagai usaha telah dilakukan untuk memperbaiki keadaan.
Pemilik nama penuh Noorulhuda Abdul Wahab, menyifatkan kemelut yang berlaku sebagai satu ujian yang sangat menyakitkan, apatah lagi apabila melibatkan hubungan antara ibu dan anak.
Menurutnya, campur tangan pihak luar menjadi antara punca hubungan mereka terus renggang.
“2022 bukanlah tahun yang mudah untuk saya, manakala 2023 pula paling mencabar apabila perniagaan terjejas.
“Namun yang paling merobek hati adalah apabila ada pihak ketiga yang memberi idea kepada anak kita.
“Kita tak mampu mengawal perkara itu. Anak mempunyai kehidupan sendiri dan ingin meneroka, itu saya faham.
“Namun apabila ada pihak luar yang menghasut demi kepentingan sendiri, itu yang menimbulkan kemarahan,” katanya dalam sebuah podcast.
Lebih memilukan, Nourul mengakui segala usaha untuk merapatkan kembali hubungan seakan tidak disambut, termasuk ketika dia berdepan detik sukar melibatkan kesihatan dirinya.
“Saya sudah berusaha sedaya upaya termasuk ketika menjalani pembedahan. Namun, respons yang diterima hanya semoga cepat sembuh’.
“Itu bukan lagi layanan antara anak dengan ibu. Saya serahkan segalanya kepada Allah.
“Sebagai ibu bapa, kita akan rasa sakit walaupun anak terluka sedikit,” ujar pelantun lagu Kerana Terluka itu.
Dalam masa sama, Nourul memilih untuk berserah kepada ketentuan Ilahi dalam menghadapi ujian tersebut dan mengakui setiap ibu bapa pasti menginginkan yang terbaik buat anak-anak.
“Saya serahkan segalanya kepada Allah. Sebagai ibu bapa, kita akan rasa sakit walaupun anak terluka sedikit.
“Kita tidak mahu mereka kecewa, tetapi dalam masa sama perlu membiarkan mereka belajar daripada pengalaman.
“Jika ingin belajar tentang kehidupan, tiada masalah. Namun, jangan sampai memutuskan hubungan,” jelasnya.
Terdahulu, Nourul pernah memberi bayangan mengenai hubungan dinginnya dengan anak sulung, namun tidak mendedahkan punca sebenar konflik tersebut. Dia juga pernah meluahkan rasa rindu terhadap Ayu yang kini berusia 28 tahun.
Untuk rekod, Ayu merupakan anak hasil perkahwinan Nourul bersama komposer Ajai, sebelum mereka berpisah pada tahun 2007. Lima tahun kemudian, Nourul kembali bertemu jodoh dengan warga Perancis, Eric Daniel Depp.
Hasil perkahwinan kedua itu, mereka dikurniakan tiga cahaya mata iaitu Zachary Depp, 13, Raphael Depp, 11, dan Isabella Depp yang kini berusia tujuh tahun.



