
Bagi kebanyakan pekerja, bonus akhir tahun merupakan ganjaran atas kerja keras yang dilakukan untuk syarikat. Namun bagi seorang pengurus jualan di Tokyo, pemotongan bonus didakwa menjadi titik tolak kepada satu konfrontasi yang berakhir dengan pembunuhan.
Konfrontasi itu kini menjadi tumpuan siasatan kes bunuh di Tokyo.
Seorang lelaki berusia 45 tahun, Masahiro Yamanaka, ditahan kerana disyaki membunuh bosnya, presiden syarikat berusia 44 tahun, Akihiro Kawashima, di apartmen milik Kawashima di Ota Ward.
Polis percaya kejadian berlaku antara petang 7 Januari hingga pagi 8 Januari. Semasa disoal siasat, Yamanaka dilaporkan mengakui berdepan dengan Kawashima di apartmen tersebut, sebelum mendakwa dia hanya berniat untuk mengugut mangsa.
“Saya memang menikamnya, tetapi saya tidak berniat untuk membunuhnya,” katanya kepada penyiasat.
Penyiasat berkata, bukti di tempat kejadian menunjukkan Kawashima cuba mempertahankan diri.
Sebilah pisau buah yang dipercayai dibawa dari rumah Yamanaka ditemui, manakala kesan tapak kaki berlumuran darah ditemui di dalam apartmen dan di tangga kecemasan.
Perhatian kini tertumpu kepada kemungkinan motif kewangan.
Penyiasat berkata, Yamanaka memberitahu polis bonus akhir tahunnya telah dipotong tanpa sebarang penjelasan.
Dia mendakwa bonusnya dikurangkan daripada satu setengah bulan gaji kepada hanya satu bulan gaji. Slip gaji yang mencerminkan jumlah bonus yang dikurangkan itu ditemui di rumahnya.
Dia juga dilaporkan meluahkan rasa tidak puas hati yang mendalam terhadap pengurusan tempat kerja dan sikap bosnya.
“Saya mula percaya bahawa jika kata-kata tidak berkesan, saya perlu membuatnya mengubah fikiran walaupun dengan cara membuatnya menderita,” seperti dipetik oleh Yahoo News Japan.
Selepas penahanannuya, ibu Yamanaka mengeluarkan permohonan maaf secara terbuka, menyifatkan anaknya sebagai seorang yang lembut dan tidak menyukai keganasan.
“Jika dia menghadapi masalah di tempat kerja, dia sepatutnya berundur sahaja,” katanya.



