Wanita Menang Saman RM114,000 Lepas Tanggung Sakit Hampir 7 Tahun Gara-Gara Suntikan Filler Payudara

Seorang wanita berusia masih menanggung kesakitan hampir tujuh tahun selepas menjalani prosedur kosmetik ‘filler’ payudara yang dilakukan oleh seorang pengamal estetik tidak bertauliah.
Wanita yang bekerja sebagai pendandan rambut berusia 33 tahun itu berkata, dia menjalani prosedur tersebut di sebuah pusat kecantikan di Damansara Perdana, Petaling Jaya pada 2019
Dia mendakwa pusat itu beroperasi tanpa sijil yang sah dan tidak mematuhi prosedur perubatan yang betul.
“Saya terpaksa menanggung kesakitan ini sehingga hari ini. Sudah hampir tujuh tahun,” katanya dalam satu sidang media.
Menurutnya, dia mula mengenali syarikat kecantikan itu apabila ia mengadakan acara promosi di tempat dia bekerja. Tertarik dengan tawaran yang diberikan, dia dan seorang rakan kemudian mengunjungi pusat tersebut untuk mendengar taklimat sebelum bersetuju menjalani prosedur berkenaan, yang menelan kos sekitar RM2,000.
“Pada masa itu, saya fikir ia hanya rawatan biasa untuk wanita. Saya masih muda dan kurang pengetahuan tentang prosedur kosmetik,” jelasnya seperti dilaporkan Harian Metro.
Tidak lama selepas prosedur itu, wanita berkenaan mengalami demam dan kesakitan berterusan selama beberapa hari sebelum mengambil keputusan mendapatkan rawatan di hospital.
Doktor kemudian mengesahkan dia mengalami jangkitan darah serta komplikasi yang berpunca daripada prosedur kosmetik tersebut.
Keadaannya menjadi lebih teruk apabila bahan filler itu didakwa bocor di dalam badannya dan merebak ke kawasan yang tidak lagi boleh dikeluarkan.
Situasi ini menyebabkan dia mengalami kesakitan jangka panjang yang berterusan sehingga hari ini.
“Walaupun saya menerima pampasan, ia tidak mampu membayar apa yang saya lalui. Kesakitan ini akan kekal bersama saya selama-lamanya,” katanya.
Wanita itu menasihatkan orang ramai supaya sentiasa menyemak kelayakan pengamal estetik dan memastikan pusat kecantikan berdaftar dengan sah sebelum menjalani sebarang prosedur kosmetik.
Dia juga menggalakkan mangsa supaya tidak takut atau malu untuk mengambil tindakan undang-undang sekiranya menjadi mangsa kejadian serupa.
Sementara itu, peguamnya, Jason Wee berkata, satu saman sivil telah difailkan terhadap pemilik tunggal syarikat kecantikan tersebut atas kecuaian dalam menjalankan prosedur itu.
Hakim Mahkamah Sesyen, Emilia Kaswati Mohamad Khalid, memutuskan memihak kepada wanita itu dan menganugerahkan RM80,000 sebagai ganti rugi am, RM30,000 sebagai ganti rugi teladan, dan RM4,259.10 sebagai ganti rugi khas.
Wee berkata penderitaan berpanjangan yang dialami anak guamnya sepatutnya menjadi peringatan kepada orang ramai supaya lebih berhati-hati dan tidak membuta tuli menjalani rawatan kesihatan atau kecantikan tanpa membuat semakan sewajarnya.
Beliau juga berharap pihak berkuasa akan menguatkuasakan undang-undang sedia ada dengan lebih tegas bagi mengawal syarikat yang menawarkan rawatan kosmetik, supaya kejadian sama tidak berulang lagi.



