BusinessViral

Kerja 6 Hari Di Bazar Kampus, Wanita Dakwa Majikan ‘Lesap’ Tak Bayar Gaji RM865

Seorang wanita mendakwa dirinya tertipu selepas menyudahkan kerja sambilan yang dijalaninya selama enam hari di sebuah bazar kampus universiti baru-baru ini.

Dikenali sebagai Cai, wanita itu mendakwa pemilik gerai atau majikan kerja sambilannya itu menghilang tanpa membayar upahnya.

Cai berkata, dia bekerja di sebuah gerai minyak wangi di pasar kampus pada Disember lalu selepas dijanjikan gajinya akan dibayar penuh pada hari terakhir bekerja.

Bayaran yang dipersetujui terdiri daripada gaji asas dan komisen, berjumlah RM865. Namun pada hari terakhir bekerja, pemilik gerai itu tidak muncul.

Sebaliknya, Cai diarahkan melalui mesej supaya mengemas baki produk yang ada. Pemilik gerai berkenaan memberi jaminan bahawa bayaran akan dibuat kemudian melalui pindahan bank. Namun, bayaran yang dijanjikan itu tidak pernah diterima.

Menurut Cai, dia berulang kali cuba menghubungi pemilik gerai tersebut melalui WhatsApp, tetapi tidak mendapat sebarang balasan. Panggilan telefonnya pula sama ada ditolak atau terus ditamatkan. Tambahnya, salah satu daripada dua nombor telefon yang dimiliki didapati telah menyekat nombornya.

Dalam usaha untuk menghubungi individu itu, Cai menggunakan telefon bapanya. Pemilik gerai tersebut menjawab panggilan dan secara lisan berjanji akan membuat bayaran dalam tempoh seminggu. Begitupun, selepas panggilan dibuat, masih tiada bayaran diterima.

Apabila Cai memberi amaran akan membuat laporan polis dan mengemukakan aduan kepada Jabatan Tenaga Kerja, pemilik gerai itu barulah membalas mesejnya. Sungguhpun begitu, jawapan yang diterima Cai bersifat kasar dan sambil lewa. Malah individu itu dikatakan menyuruhnya terus membuat laporan polis kerana mereka tidak takut dengan tindakan yang bakal dikenakan.

Memetik Sin Chew Daily, Cai berkata dia percaya dia bukan satu-satunya mangsa pemilik gerai itu. Menurutnya, beberapa individu lain turut mengambil kerja yang sama melalui sebuah platform pihak ketiga.

Apabila mereka cuba mendapatkan bantuan daripada platform itu untuk menuntut gaji yang tidak dibayar, mereka dimaklumkan pemilik gerai tersebut juga tidak membayar platform berkenaan, dan para pekerja terpaksa menguruskan perkara itu sendiri.

Cai berkata, beberapa mangsa berkongsi pengalaman serupa, termasuk mengejar bayaran, diabaikan dan menerima jawapan provokatif apabila menyebut mengenai tindakan undang-undang. Dia menyifatkan sikap pemilik gerai itu sebagai angkuh dan mengecewakan.

Dalam masa sama, Cai mengakui yang dia tidak lagi meletakkan harapan tinggi untuk mendapatkan kembali gaji yang ditagih. Sebaliknya, dia memilih untuk mendedahkan kisahnya kepada umum bagi memberi amaran kepada pelajar dan pekerja sambilan supaya lebih berhati-hati apabila menerima kerja sementara.

Cai juga berkata, ini adalah kali pertama dalam tempoh bertahun-tahun dia melakukan kerja sambilan, dia berdepan dengan majikan yang begitu bermasalah.

Related Articles

Back to top button