BeritaTrending

Video Nadia Kesuma Rebah Di Aiport Tidak Benar, Suami Perjas Kekeliruan

Hantaran bergambar yang tular memaparkan tangkap layar kononnya menunjukkan pelakon Allahyarham Nadia Kesuma rebah di Lapangan Terbang Raja Abdul Aziz, Jeddah disahkan tidak benar.

Perkara itu dinafikan oleh suami Allahyarham, Prof Dr Muhammad Kamarul Kabilan Abdullah menerusi satu hantaran di Facebook. Muhammad Kamarul, 57, berkata maklumat yang disebarkan itu mengelirukan dan tidak tepat berhubung kematian isterinya yang berlaku pada 15 Januari lalu.

“Untuk pengetahuan semua, bukti video tersebut tidak wujud buat masa ini. Kami sekeluarga telah membuat permohonan rasmi melalui kerajaan Malaysia kepada kerajaan Arab Saudi untuk mendapatkan rakaman video tersebut (untuk tontonan kami sekeluarga sahaja) sejak arwah dilaporkan hilang pada 15 Januari.

“Namun malangnya, permohonan kami masih belum diluluskan sehingga ke hari ini (hari kami bertolak pulang dari Jeddah ke Malaysia).

“Mereka mempunyai protokol, polisi dan prosedur yang berbeza. Sebagai keluarga, kami berasa sedih dan kecewa, namun kami menghormati amalan mereka,” katanya.

Menurut Muhammad Kamarul, terdapat perbezaan prosedur di Arab Saudi, termasuk bagi kes kehilangan orang dewasa yang hanya boleh dilaporkan selepas 24 jam barulah laporan diterima pihak polis.

“Jadi bagaimana kami tahu bahawa arwah meninggal dunia di lapangan terbang Jeddah? Kejadian itu DITERANGKAN (berdasarkan rakaman CCTV) oleh pegawai Arab Saudi di sana.

“Video tersebut tidak ditunjukkan kepada kami. Kami juga tidak diberitahu lokasi tepat kejadian tersebut berlaku. Oleh itu, jika ada kenyataan yang menyatakan arwah jatuh di tempat sekian-sekian, maka itu tidak benar.

“Apa yang diceritakan kepada kami ialah arwah dibawa keluar menggunakan usungan (stretcher) ke ambulans dan diberikan rawatan perubatan secepat mungkin,” jelasnya lagi.

Dalam hantaran sama, Muhammad Kamarul turut menjelaskan bahawa pihak keluarga tidak mengetahui lokasi sebenar isterinya rebah, namun dimaklumkan mengenai waktu kematian.

“Namun, kami tahu waktu kematian iaitu antara jam 8.00 hingga 8.10 pagi (waktu Jeddah, atau 1.00 hingga 1.10 tengah hari waktu Malaysia).

“Dalam hantaran anak saya (Myraa), ia ditulis sebagai 8.05 malam. Itu adalah kesilapan anak saya kerana kami dimaklumkan berita kematian oleh Wisma Putra pada jam 12.17 tengah malam (18 Januari 2026). Oleh itu, dia menyangka kematian arwah berlaku pada waktu malam.

“Waktu kematian rasmi yang diberikan oleh pihak hospital di Jeddah adalah 8.07 pagi (waktu Jeddah atau 1.07 tengah hari waktu Malaysia),” katanya.

Terdahulu, Nadia Kesuma atau nama sebenarnya Nadiah Kasumawati Abdul Karim, 50, meninggal dunia pada hari sama Allahyarham dilaporkan hilang di Jeddah, Arab Saudi.

Allahyarham dilaporkan gagal dikesan ketika transit di Lapangan Terbang Jeddah dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke London. Nadia merupakan antara 21 peserta pakej lawatan Umrah-London-Paris yang dianjurkan Nuh Travel & Tours Sdn Bhd.

Pihak berkuasa lapangan terbang sebelum ini memaklumkan bahawa Allahyarham rebah akibat serangan jantung dan telah dikejarkan ke Hospital King Fahad, Jeddah.

Related Articles

Back to top button