Suami Tak Benarkan Intan Najuwa Buat Kerja Rumah, Dilayan Bak Puteri
Pelakon, Datin Intan Najuwa, 28, meluahkan rasa syukur dan bahagia apabila rumah tangganya bersama suami tercinta, Datuk Ahmad Azraf Azman, kini mencecah usia dua tahun.
Menerusi hantaran romantik di Instagram sempena ulang tahun perkahwinan mereka, Intan menyifatkan suaminya sebagai seorang lelaki yang sangat penyayang dan prihatin.
“Selamat ulang tahun kedua buat cinta dalam hidup saya. Dari hari pertama hingga sekarang, awak tak pernah biarkan saya buat kerja rumah, tidak biar saya risau hal-hal kecil,” tulisnya.
Menurut Intan, dia benar-benar terharu apabila dilayan penuh kasih sayang dan perhatian ibarat seorang puteri sejak awal perkahwinan mereka.
“Awak manjakan, lindungi dan sayangi saya seperti seorang puteri,” luahnya penuh syukur.
Lebih bermakna, ulang tahun kali ini turut disambut dengan kehadiran cahaya mata pertama mereka, Imane Lunara yang dilahirkan pada 15 Disember tahun lalu.
“Kini dengan hadirnya anak perempuan kita, Lunara… cinta kita terasa lebih sempurna dan bermakna. Saya bahagia menjalani hidup ini bersama awak,” ungkap aktres itu.
Untuk rekod, Intan sah bergelar isteri kepada usahawan berjaya, Datuk Ahmad Azraf pada Ogos 2023 dalam sebuah majlis tertutup yang diadakan secara sederhana namun meriah.
