Kekasih Ben Amir Peluk Islam, Pilih Nama Liana Alara
Teman wanita kepada pelakon Ben Amir yang juga personaliti media sosial dikenali sebagai Maiya, mengumumkan dirinya kini sah memeluk agama Islam dan memilih nama baharu Liana Alara sebagai simbol permulaan hidup penuh makna.
Maiya meluahkan rasa syukur atas segala sokongan dan kasih sayang yang diterima daripada keluarga, rakan-rakan serta para pengikutnya di media sosial.
“Alhamdulillah untuk permulaan baharu ini. Saya bersyukur atas segala kasih sayang dan kehadiran semua pada hari istimewa saya,” tulisnya dalam satu hantaran.
Maiya turut memuat naik sekeping gambar sijil pengislaman yang dikeluarkan oleh Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) sebagai pengesahan rasmi terhadap penghijrahannya itu.
Dalam hantaran sama, dia berkongsi makna di sebalik nama pilihannya, Liana Alara yang membawa erti kedamaian dan cahaya dalam perjalanan hidup baharunya.
Maiya juga mengakui hari bersejarah tersebut meninggalkan kesan yang cukup mendalam apabila menerima banyak mesej, doa dan ucapan tahniah daripada masyarakat.
“Hari ini begitu luar biasa dan penuh kasih sayang. Terima kasih kerana menyambut saya dengan begitu baik dalam perjalanan baharu kehidupan ini.
“Doa, mesej dan pelukan anda (walaupun dari jauh) amat bermakna dan sukar digambarkan dengan kata-kata. Saya benar-benar bersyukur untuk setiap seorang daripada anda,” katanya lagi.
Meninjau ke ruangan komen, rata-rata netizen mengucapkan tahniah dan berdoa agar Liana terus kuat serta istiqamah dalam mendalami Islam.
Menariknya, Ben Amir turut dilihat menemani Maiya sewaktu sesi pengislaman di pejabat MAIWP, pada Isnin.
Sebelum itu, Ben sempat memuat naik beberapa foto di Instagram yang memperlihatkan dirinya berada di kaunter Cawangan Kebajikan Saudara Baru, Bahagian Pengurusan Dakwah MAIWP, sekali gus memberi petunjuk kehadirannya bagi menemani kekasihnya.
