Kakitangan Lapangan Terbang Di Malaysia Sediakan Payung Ketika Hujan Terima Pujian Pelancong Luar Negara

Kakitangan Lapangan Terbang Di Malaysia Sediakan Payung Ketika Hujan Terima Pujian Pelancong Luar Negara

Seorang pelancong dari luar negara menzahirkan rasa terharu melihat kegigihan kakitangan sebuah lapangan terbang di Malaysia yang memberikan payung kepada penumpang yang berjalan menuju ke pesawat sewaktu hari hujan.

Menerusi video yang dimuat naik di TikTok, pelancong itu meluahkan betapa tersentuhnya dia melihat kakitangan lapangan terbang yang sanggup melakukan lebih daripada biasa bagi memastikan penumpang tidak basah kuyup walaupun cuaca buruk.

Dia berkata, layanan sebegini jarang sekali dilihat di lapangan terbang Eropah, walaupun yang terkenal dengan kecekapan menguruskan servis penerbangan.

“Di lapangan terbang di Malaysia, mereka beri payung kepada penumpang bila hujan. Saya tak pernah lihat ini di Eropah. Syabas, Malaysia,” katanya.

Pelancong ini memberikan pujian kepada perkhidmatan yang disediakan oleh pihak lapangan terbang.

Pujian ikhlasnya itu cepat menerima reaksi positif, terutama daripada rakyat Malaysia yang berasa bangga apabila hospitaliti negara diiktiraf pengunjung antarabangsa.

Ramai merasakan kemudahan kecil ini benar-benar mencerminkan budaya kebaikan, kesopanan dan sikap ringan tulang rakyat Malaysia.

Bahagian komen video dipenuhi dengan mesej daripada rakyat tempatan dan pelancong lain yang pernah menerima layanan sama, dengan ramai mengatakan ia membuatkan mereka berasa dihargai sebagai pengembara.

Seorang rakyat Malaysia menulis:

“Malaysia memang macam tu. Hujan sikit pun staf dah sedia dengan payung. Servis tip-top. Terima kasih sebab menghargai layanan kami,” tulisnya.

Related post

Leave a Reply