Jalan Ke Genting Highlands Akan Dikenakan Tol Tidak Lama Lagi

Jalan Ke Genting Highlands Akan Dikenakan Tol Tidak Lama Lagi

Genting Malaysia Berhad mengesahkan kenderaan yang melalui Jalan Genting Highlands akan dikenakan caj tol dalam masa terdekat. Tarikh pelaksanaan rasmi akan diumumkan kemudian.

Syarikat itu menjelaskan, Jalan Genting Highlands merupakan jalan persendirian sepanjang 24 kilometer yang dibina dan diselenggara sepenuhnya oleh Genting Malaysia sejak tahun 1960-an.

“Disebabkan penggunaan yang tinggi serta infrastruktur yang semakin uzur, kos penyelenggaraan telah meningkat dengan ketara dari tahun ke tahun,” katanya dalam satu kenyataan yang dikongsikan di Facebook.

Menurut Genting Malaysia, pelaksanaan tol ini adalah berdasarkan prinsip pengguna membayar (user pays). Caj tersebut akan membantu menampung kos penyelenggaraan, pembaikan, pengurusan cerun serta kesiapsiagaan kecemasan di sepanjang jalan berkenaan.

Genting Malaysia turut menekankan bahawa pasukan penyelenggaraan dan keselamatan ditempatkan 24 jam sehari di pos kawalan pertengahan dan puncak bukit bagi memastikan kelancaran perjalanan serta kesiapsiagaan menghadapi sebarang kecemasan.

Syarikat itu menambah, jalan tersebut bukan sahaja digunakan oleh pelawat ke Resorts World Genting, tetapi juga menyokong pelbagai perniagaan dan destinasi pelancongan lain di kawasan sekitarnya.

Jalan berkenaan telah memainkan peranan penting dalam merancakkan sektor pelancongan, mewujudkan peluang pekerjaan, serta menyumbang kepada ekonomi negeri dan negara.

Dalam masa sama, Genting Malaysia menegaskan, inisiatif ini merupakan usaha persendirian sepenuhnya bagi jalan milik syarikat tersebut.

Walaupun digunakan secara umum, tanggungjawab penyelenggaraan jalan ini sentiasa ditanggung sepenuhnya oleh pihak syarikat.

Related post

Leave a Reply