Hilang 3 Hari Lepas Pulang Dari China, Rupanya Wanita Ini Hanya Mahu Tenangkan Diri

Hilang 3 Hari Lepas Pulang Dari China, Rupanya Wanita Ini Hanya Mahu Tenangkan Diri

Keluarga kepada seorang wanita berusia 25 tahun baru-baru ini tampil di media sosial bagi memohon bantuan orang ramai untuk mencari mangsa selepas dia dilaporkan hilang selama tiga hari.

Wanita tersebut dikenali sebagai Chong Jia Hui, kali terakhir dilihat pada Rabu (5 November 2025) di R&F Princess Cove A2-1, Johor Bahru.

Keluarganya telah membuat laporan polis berhubung kehilangan itu.

Menurut laporan China Press, adik lelaki Chong memaklumkan bahawa kakaknya bekerja di Singapura sebagai jurujual wangian rumah dan menyewa unit di R&F bagi memudahkan urusan ulang-alik. Namun, Chong tidak hadir bekerja selama dua hari berturut-turut.

Sementara itu, sepupu iparnya berkata, Chong baru sahaja pulang daripada percutian di China pada Selasa (3 November 2025) dan kelihatan seperti biasa tanpa menunjukkan sebarang kelainan.

Namun, apabila rakan yang pergi bersamanya gagal menghubunginya keesokan harinya, dia segera menghubungi keluarga Chong. Rakaman CCTV kemudian menunjukkan Chong meninggalkan kondominium tersebut pada pagi 5 November.

Sepupu iparnya turut memberitahu bahawa Chong seorang yang berjimat cermat dan jarang keluar rumah kecuali untuk bekerja, selain tidak pernah mengadu menghadapi masalah kewangan.

Tiada perkara buruk berlaku apabila Chong ditemui oleh keluarganya awal pagi tadi, seperti yang diumumkan oleh salah seorang ahli keluarga di media sosial.

Dalam kapsyen yang dimuat naik, Chong menjelaskan bahawa dia berdepan tekanan emosi dan psikologi yang menyebabkan dirinya menghilang selama beberapa hari.

Keluarganya turut merakamkan penghargaan kepada pihak media dan orang awam yang membantu menyebarkan berita kehilangan Chong sehingga dia berjaya ditemui semula.

Related post

Leave a Reply