Hafiz, Adira Hanya Sahabat

Hafiz, Adira Hanya Sahabat

Penyanyi, Hafiz Suip, 35, menegaskan hubungannya dengan rakan artis, Adira Suhaimi tidak lebih daripada sekadar persahabatan meskipun mereka pernah menjalin hubungan istimewa suatu ketika dahulu.

Menurut pemilik nama sebenar Mohamad Hafiz Mohamad Suip, dia amat menghargai persahabatan yang terjalin antara mereka.

“Saya dengan Adira masih berkawan, tiada perasaan lebih daripada itu. Masing-masing sudah ada kehidupan sendiri, jadi saya hanya harapkan doa yang baik-baik sahaja,” katanya.

Mengulas mengenai segelintir peminat yang masih berharap agar mereka kembali bersama selepas kedua-duanya kini kembali solo, Hafiz mengakui tidak mampu menghalang tanggapan orang ramai.

“Kalau peminat nak kenenkan kami semula, saya nak buat macam mana? Mulut orang memang tak boleh kita kawal.

“Cuma harapan saya, jangan sampai timbul isu negatif kerana kami sudah ada hala tuju masing-masing,” jelasnya.

Dalam pada itu, Hafiz tidak menolak kemungkinan untuk kembali berduet bersama Adira selepas enam tahun tidak merakamkan lagu bersama.

Bagaimanapun, kata Hafiz fokus utamanya kini adalah pada konsert solo sulung yang bakal berlangsung tidak lama lagi.

“Memang ada rasa rindu nak bekerjasama dengan Adira. Sebelum ini, setiap tiga tahun kami pasti ada lagu duet. Mungkin selepas konsert nanti, insya-Allah,” ujarnya lagi.

Untuk rekod, Hafiz pernah mendirikan rumah tangga dengan Nureffy Jasreel Abdullah pada 14 Mei 2016 namun bercerai pada 29 Mei lalu.

Manakala Adira pula berpisah talak satu dengan suaminya, Datuk Seri Adnan Abu selepas sembilan tahun mendirikan rumah tangga.

Related post

Leave a Reply