Ariff Bahran Kecewa Ditawar RM1,400 Untuk 2 Buah Lagu – ‘Aku Nak Makan Apa?’
Penyanyi, Ariff Bahran, 27, meluahkan rasa kecewa apabila mendakwa menerima tawaran bayaran yang terlalu rendah dan tidak sepadan dengan usaha serta nilai kerja seorang penyanyi.
Menurut pemilik nama lengkap Muhammad Ariff Bahran Ahmad Azhari, dia ditawarkan sebanyak RM1,400 untuk menyanyikan dua buah lagu, jumlah yang dianggap tidak munasabah.
“Aku tengah berurusan dengan seseorang dan mereka nak suruh aku menyanyi dua lagu untuk RM1,400.
“Kepala otak dia, aku nak makan apa? Ini lagi membuatkan aku tak nak menyanyi,” ujarnya dalam satu hantaran.
Pelantun lagu Kata Akhirmu itu turut berkongsi pengalaman suatu ketika dahulu, dia pernah menerima bayaran sebanyak RM25,000 bagi menjayakan persembahan.
Namun kini, situasi pasaran yang jauh berbeza membuatkan dia berasa tawar hati untuk meneruskan karier nyanyian.
“Dulu Alhamdulillah aku pernah dapat RM25,000 masa masih bujang dan market masih ada. Sekarang lain, rasa macam tak berbaloi,” katanya lagi.
Tambahnya, tawaran itu juga tidak masuk akal apabila dibandingkan dengan pendapatannya melalui kerja pejabat yang dilakukan sendiri.
“Duduk dalam pejabat dalam sehari sahaja aku boleh buat lagi banyak keuntungan berbanding bernyanyi di luar sana.
“Yang muda-muda, gunakan masa yang ada ini untuk cari duit dengan berniaga daripada nak kejar glamour,” pesan Ariff.
