Persatuan SENIMAN Malaysia Berani Melangkah Menyeberangi Kebiasaan!
  • Saksikan ANTARA Malam ini…

    Feb 26

    Siri dakwah Erma Fatima

    Oleh SHAZRYN MOHD. FAIZAL
    shazryn.faizal@utusan.com.my
    Gambar HAFIZH KHOSMAT

    HAERIYANTO Hassan (kanan) dan Soosan Hoh memegang watak sebagai pencerita dalam teater Antara…



    DUDUK berbicara dengan seniwati handalan bernama Erma Fatima ini banyak benar luahan hatinya.

    Ada ketikanya dia boleh bergurau dan ketawa tetapi nada suaranya akan pantas bertukar menjadi serius kalau membicarakan soal seni khususnya berkaitan dengan ketuhanan mahupun kerohanian.

    Ada masa dia sendiri tidak faham mengapa masih ada lagi segelintir pihak yang seolah-olah menutup sebelah mata terhadap perjuangan seninya.

    Bukan meminta berjuta-juta ringgit apatah lagi segunung intan permata, tetapi apa yang diinginkan oleh Erma cumalah sokongan dan bantuan untuk membantu berdakwah menerusi karyanya.

    Membuka bicara ketika duduk bersantai selepas sesi latihan teater Antara… di Istana Budaya (IB) lewat malam Selasa lalu, Erma dengan penuh jujur mengatakan dia menyalahkan dirinya terlebih dahulu.

    “Mana tidaknya, saya nak terbitkan teater tetapi tiada wang yang banyak. Kerana itu saya menyalahkan diri saya terlebih dahulu dalam hal ini.

    “Kalaulah saya ada wang yang banyak, sudah pasti saya tidak akan berjumpa dengan mana-mana pihak untuk mendapatkan penajaan.

    “Kadang-kala saya duduk dan berfikir sendiri mengapa karya berunsurkan Islam dianak tirikan di negara sendiri dan tidak mendapat bantuan daripada pihak yang menjalankan perniagaan berasaskan Islam.

    “Kerana itu, saya sering memujuk diri dengan mengatakan kalau hendak berdakwah memang dugaannya besar.

    “Apa yang saya alami ini hanyalah sekelumit sahaja jika hendak dibandingkan dengan apa yang dilalui oleh Nabi Muhammad SAW sewaktu Baginda hendak menyampaikan dakwahnya,” tutur Erma dalam nada lembut namun terselit juga ketegasannya.

    Erma meluahkan isi hatinya berikutan pihaknya masih gagal mendapatkan sebarang penajaan untuk penerbitan teater muzikal Antara… yang akan dipentaskan bermula malam ini sehingga Ahad (28 Februari).

    Antara… diterbitkan sempena menyambut Maulidur Rasul dan ini merupakan teater ketiga yang diterbitkannya untuk menjunjung serta mengingati perjuangan Rasulullah SAW.

    Tahun 2008 menyaksikan Erma tampil dengan teater muzikal Sirah Junjungan manakala tahun lalu, dia meneruskan dakwahnya menerusi musim kedua Sirah Junjungan yang diberi nama Tahajud Cinta.

    Di sebalik kekecewaan Erma itu, ada khabar gembira yang dapat mengubat kesedihannya itu apabila dia memberitahu penjualan tiket Antara… cukup menggalakkan.

    Biarpun lembap tetapi ada menunjukkan sedikit peningkatan dan kerana itu kata Erma, dia mahu memberikan yang terbaik untuk teater muzikal yang mengangkat kisah Nabi Adam dan Hawa itu.

    Tidak hanya bertumpu pada kisah tersebut sahaja, Antara… juga antara lain mahu membawa masyarakat melihat dan merenung kehidupan manusia kini yang sudah makin jauh tersasar dari landasannya.

    “Saya harus berterima kasih kepada semua pihak terutama media yang banyak membantu saya dari segi promosi untuk menyedarkan masyarakat tentang teater ini.

    “Bukan itu sahaja, saya juga tidak menafikan teater ini mampu menarik perhatian masyarakat kerana ia turut menampilkan barisan penyanyi popular yang turut menyerikan Antara…,” ujar Erma atau nama sebenarnya Fatimah Rahmad ini dalam nada kesyukuran.

    Antara… dibintangi pelakon handalan tanah air seperti Fahrin Ahmad dan Nasha Aziz yang memegang watak sebagai Adam dan Hawa.

    Selain itu, ia turut menampilkan Azizah Mahzan, Haeriyanto Hassan, Azahan Rani, Iqbal Mazlan, Anne Abdullah dan Soosan Hoh yang bertindak sebagai pencerita menerusi watak masing-masing.

    Penyanyi-penyanyi popular yang terlibat dalam pementasan teater arahan bersama Ellie Suriaty Omar ini ialah Jamal Abdillah, Ziana Zain, Hattan, Iqwal, Wana serta Azlan & The Typewriter.

    Sudah pasti, gabungan nama-nama besar dalam bidang lakonan dan nyanyian itu mampu memantapkan lagi perjalanan cerita Antara… yang harap dapat mengundang keinsafan dan kesedaran.

    Biarpun masa yang diberikan cukup singkat untuk menghasilkan skrip Antara… tetapi Erma merasakan dirinya sebagai seorang yang cukup bertuah kerana masih lagi diberi peluang dan ruang untuk berdakwah menerusi seni.

    Antara… tidak hanya memaparkan kisah Nabi Adam dan Hawa itu sendiri tetapi saya mahu memberitahu masyarakat bahawa anasir-anasir jahat yang mahu menjatuhkan Islam sudah semakin hampir.

    “Tetapi, cuma kita sebagai umat Islam sahaja yang tidak tahu atau mungkin tidak sedar akan perkara itu dan semuanya itu saya paparkan dalam teater ini.

    “Apa yang perlu penonton lakukan hanyalah duduk dan memahami intipati jalan cerita Antara… Saya sudah melakukan yang sehabis baik dan memperhalusi setiap adegan agar tidak menimbulkan kontroversi ,” jelasnya mengenai teater terbitan Antipop Event Solutions Sdn. Bhd. dengan kerjasama IB itu lagi.

    Mengenai pemilihan lagu dalam teater ini pula, Erma memberitahu, dia sudah membayangkan lagu-lagu yang mahu ditampilkannya sejak mula menghasilkan skrip.

    Bukan sahaja lagu, tetapi termasuklah penyanyi yang akan mendendangkan lagu-lagu yang dimuatkan dalam teater ini.

    Harus ditonton

    “Sebanyak 16 buah lagu yang ditampilkan dalam teater ini di mana setiap lagu itu berhubung kait dengan perjalanan cerita serta adegannya.

    “Selain itu, ia turut dibantu dengan permainan visual serta gerak tari yang akan menterjemahkan lagi maksud lagu yang disampaikan itu,” jelas Erma yang kini sedang menyiapkan skrip filem terbarunya, Murtad.

    Antara lagu-lagu yang akan berkumandang ialah Tahajjud Cinta, Pintu Rindu, Kepadamu Kekasih, Laskar Cinta, Arjuna, Mati Hidup Semula, Meniti Titian Usang, Hijab Kekasih, Mentari Merah Di Ufuk Timur dan Makhluk Tuhan Paling Seksi.

    Sempat juga isteri kepada pengarah terkenal, Badaruddin Azmi ini memuji Azlan & The Typewriter yang disifatkannya sebagai seorang artis yang berdedikasi.

    “Hanya dia seorang sahaja yang membaca skrip sebelum naik ke pentas untuk latihan. Menariknya dalam pementasan ini nanti, dia akan menyanyikan empat buah lagu dalam karakter yang berbeza.

    “Saya memang mengagumi bakatnya dan saya percaya dia boleh pergi jauh. Bertuah saya dapat melibatkannya sekali dalam pementasan ini,” kata Erma yang tidak henti memuji bekas vokalis kumpulan Meet Uncle Hussain itu.

    Sementara itu, Fahrin dan Nasha yang ditemui usai sesi latihan berakhir berkata peluang berlakon dalam Antara… merupakan antara detik terbaik dalam kerjaya seni mereka.

    Apatah lagi untuk orang baru seperti Fahrin yang pertama kali berlakon teater di samping Nasha yang sudah diketahui cukup berpengalaman dalam teater.

    “Bagi saya, Antara… memberikan satu pengalaman baru untuk saya dalam bidang teater.

    “Keunikan Antara… terletak kepada pengolahan ceritanya yang disulami dengan tarian dan muzik untuk menterjemahkan maksud setiap babak yang ditampilkan.

    “Saya perlu menghayati watak ini sebaik-baiknya kerana membawa watak Adam yang bukan sahaja perlu melontarkan suara tetapi juga mempamerkan bahasa tubuh bagi menggambarkan cinta antara Adam dan Hawa,” kata duta Garnier Men ini panjang lebar.

    Bagi Nasha pula, tarikan utama dia menerima tawaran membintangi Antara… kerana skripnya yang begitu menyentuh jiwa serta sarat dengan metafora tentang Islam dan manusiawi.

    Berbekalkan latihan dan tunjuk ajar daripada pengarah, dia yakin dapat membawa watak Hawa dengan sebaik mungkin.

    Antara… harus ditonton oleh umat Islam bagi meraikan serta mengenang kembali perjuangan Nabi junjungan kita selain mendapat banyak pengajaran daripada teater ini,” seru Nasha buat semua umat Islam di negara ini agar tidak melepaskan peluang menontonnya.

Leave a Reply

You must be logged in to post a comment.

Pilih Kelompok Berita

Berita Terdahulu

 

September 2010
M T W T F S S
« Aug    
 12345
6789101112
13141516171819
20212223242526
27282930  
Bermula 2 Jan 2010
counter widget
counter widget




Dibina & Diselenggarakan Sepenuhnya Oleh:
Shahriza Mahmud